Tuesday 5 November 2013

HARI GRADUASI KECIL KANAK-KANAK TABIKA KEMAS PARLIMEN LUMUT 2013



1.   Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang  berumur 4 hingga 6 tahun.  

 

2. Pra Sekolah KEMAS Parlimen Lumut terdiri dari 68 buah kelas dan mempunyai 1,495 orang murid dimana ianya diawasi oleh 69  orang guru yang berpendidikan Diploma Awal Kanak-kanak. Pada Hari Graduasi ini menampilkan 548 orang kanak-kanak berusia 6 tahun.

3.   Disamping itu, di Tabika  juga telah dibantu oleh Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) seramai 70 orang yang di tempatkan di setiap Tabika dimana tugasan mereka adalah membantu tugasan guru bagi melancarkan sesi pembelajaran kanak-kanak terutama di waktu rehat dimana kanak-kanak dihidangkan dengan menu yang telah dimasak oleh pembantu sukarela ini.
Sesi pengajaran dan pembelajaran bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tgh.

4.   Disamping pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa, kanak-kanak Tabika berpeluang untuk menyertai acara tahunan iaitu hari Potensi, sukaneka, lawatan pendidikan, Konvokesyen@ Graduasi, sambutan hari Kebangsaan dan terdapat juga aktiviti ko-kurikulum seperti kelas Iqra’ dan kelas belajar cepat membaca.


6. Konsep Tabika KEMAS ialah ‘Belajar Melalui Bermain’ yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul) yang menggunakan standart kurikulum Pra Sekolah Kebangsaan.
Konsep ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah apabila mereka melangkah masuk ke alam persekolahan sebenar.



7. Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak ditingkatkan dengan pemupukan dan pengukuhan kepada amalan nilai-nilai murni melalui usaha-usaha dan program yang terancang dan berstruktur.
Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria, cerdas dan cerdik serta selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa.
8. Objektif utama penganjuran Hari Graduasi ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada kanak-kanak berumur 6 tahun yang telah menamatkan pembelajaran di peringkat prasekolah di Tabika KEMAS dan bagi meningkatkan keyakinan diri mereka sebelum memasuki alam persekolahan. Ia juga sebagai salah satu program sosialisasi untuk memasyarakatkan kanak-kanak ini dengan dunia luar selain mempersiapkan mereka dengan sahsiah,sosial, kemahiran, jati diri, fizikal dan mental.
 
9. Selain itu, Tabika KEMAS adalah platform bagi anak-anak belajar dan membina keyakinan diri supaya potensi mereka dapat dikembangkan. Usaha seperti ini dilihat sebagai medan terbaik bagi semua kanak-kanak meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan mereka menyuarakan pandangan mereka mengikut saluran yang betul.
 
10. Peranan untuk mengembangkan lagi potensi kanak-kanak tidak hanya terletak pada guru-guru, akan tetapi melibatkan sokongan padu ibu bapa bagi mencorakkan kebolehan mereka ke tahap yang lebih baik.


11.   Diharap program sebegini akan dapat menyemaikan rasa keinginan kanak-kanak untuk terus berjaya dan menyematkan sikap ingin belajar bersungguh hingga ke Manara Gading seperti mana impian setiap ibu bapa yang mendoakan kecemerlangan anak-anak demi masa depan mereka kelak